
PENAMPANG – Penyerahan geran fasa pertama di bawah Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) seluas 388.86 ekar daripada pengukuran keseluruhan 2,426.57 ekar kepada 91 penduduk Kampung (Kg) Togudon, di sini pada Rabu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, sebaik sahaja dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang, isu pemilikan tanah ini merupakan antara yang terawal diselesaikan.
Jelasnya, beliau maklum dengan isu pemilikan tanah oleh penduduk Kg Togudun yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya.
“Selepas mendapatkan persetujuan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, akhirnya kita telah memulakan penyukatan tanah di bawah Program PANTAS ini pada bulan Ogos tahun lalu dan hari ini fasa satu penyerahan geran tanah telah dapat dilaksanakan.
“Penyampaian geran tanah ini telah menamatkan penantian berpuluh tahun penduduk di sini.
“Saya yakin ini akan membuka era baharu kepada aktiviti ekonomi di kampung ini khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan desa,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tanah, di Bangunan Premis Tamu Desa Kg Togudon, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut beriltizam untuk memperluaskan penyukatan tanah di beberapa kampung lain seperti Kg Moyog, Kg Rugarding dan Kg Kibunut di bawah Program PANTAS.
“Saya telah membangkitkan di Kabinet Persekutuan keperluan meneruskan Program PANTAS ini dalam Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030.
“Saya gembira kerana ini telah dimasukkan dalam RMK13 sepertimana dibentangkan oleh Perdana Menteri di bawah agenda pembangunan khas masyarakat Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.
“Saya akan terus mendapatkan sokongan Ketua Menteri supaya Program PANTAS diperluaskan di kawasan yang saya wakili, iaitu Penampang dan Kadamaian kerana sebahagian besar peruntukan untuk ini disediakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, pelaksanaan Program PANTAS di Kg Togudon merupakan inisiatif pertama pertama seumpamanya di Penampang sejak beliau menjadi wakil rakyat kawasan tersebut.
Dalam majlis tersebut, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, turut merasmikan bangunan premis Tamu Desa Kg Togudon dan pelancaran Koperasi Desa Togudon Berhad.





