
SARATOK – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok melaksanakan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah pada Jumaat bagi mengekang kegiatan jenayah di kawasan tumpuan, khususnya di sekitar Kabong.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, operasi bermula jam 4.30 petang itu memfokuskan kepada rondaan cegah jenayah, sekatan jalan raya (SJR) serta pemeriksaan mengejut di kawasan pasar, kampung dan taman perumahan.
Menurutnya, operasi melibatkan seorang pegawai dan 13 anggota itu bertujuan mengurangkan kes jenayah indeks di kawasan titik panas selain memberi jaminan keselamatan kepada masyarakat.
“Sepanjang operasi, seramai 85 individu terdiri daripada 50 lelaki dan 35 wanita telah diperiksa.
“Pihak polis turut membuat pemeriksaan ke atas 70 pelbagai jenis kenderaan dan sebanyak 29 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mathew memberitahu, dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan selepas saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Jelasnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selain itu, sebanyak lima buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.
“Polis akan terus mempergiat operasi seumpama ini dari masa ke masa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” tegas beliau.





