
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, Wilayah 4 Sabah berjaya merampas sebanyak 79,000 batang rokok seludup yang disembunyikan di sebuah rumah perkampungan atas air di Kampung (Kg) Combo Laut, di sini pada Isnin.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 3.05 petang itu membawa kepada pemeriksaan ke atas rumah berkenaan yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan rokok tidak bercukai untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
“Hasil pemeriksaan berjaya merampas 79,000 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM94,800.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Sehubungan itu, Nazri sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada seluruh komuniti orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.





