KUCHING – Sebanyak 754 isi rumah di Kanowit bakal menikmati bekalan air bersih melalui projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).
Difahamkan projek tersebut sudah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk kelulusan.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, projek tersebut merupakan Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi 2025 dan menunggu kelulusan daripada pihak KKDW.
“Projek ini merangkumi pemasangan paip air, pembinaan tangki simpanan, stesen pam penggalak untuk memenuhi keperluan bekalan air bersih di kawasan luar bandar,” ujar beliau.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 754 isi rumah di 43 kampung dan rumah panjang termasuk Majau, Mam, Batu Luking, Poi dan Menalun bakal menikmati bekalan air bersih.
“Inisiatif ini sangat penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk di luar bandar selain memudahkan akses bekalan air bersih,” ujar beliau lagi ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Sementara itu, beliau menjelaskan projek BALB di Kanowit merupakan usaha kerajaan Sarawak mempercepat pembangunan infrastruktur asas di luar bandar.
“Diharap kelulusan KKDW terhadap projek ini dapat memberi impak positif kepada penduduk di luar bandar,” kata beliau lagi.





