MELAKA – Tujuh individu ditahan dan didakwa di Melaka atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dalam tempoh 1 Januari hingga 6 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazlee Sulaiman berkata, semua individu terdiri daripada dua warga asing dan lima warganegara tempatan berusia 50 hingga 60 tahun ditahan kerana menyalahgunakan kad pengenalan palsu serta turut memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan.
“Pendakwaan terbaharu ialah pada dua hari lepas melibatkan warganegara Malaysia kerana sengaja memberikan maklumat palsu dalam butir daftar kelahiran untuk mendapatkan kad pengenalan 12 tahun di JPN Cawangan UTC.
“Kesalahan dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan individu itu telah dijatuhkan hukuman denda RM2,500 oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Hari Bertemu Pelanggan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang (JPN) Melaka oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.
Norazlee berkata, setakat ini JPN Melaka telah melaksanakan 22 operasi bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Ibu Pejabat JPN Melaka di Ayer Keroh dan JPN Cawangan UTC di Jalan Hang Tuah, di sini diberi kebenaran untuk mencetak terus MyKid yang dibuat di premis berkenaan berbanding permohonan yang dilakukan di cawangan JPN lain di negeri itu.
Beliau turut memberi jaminan bermula Ogos ini, isu permohonan MyKid yang tertangguh di seluruh negara termasuk di Melaka akan diselesaikam secara berperingkat ekoran daripada kekurangan bekalan cip bagi kad pengenalan.
Pada 1 September depan,
pejabat JPN Melaka termasuk di cawangan dan daerah akan melaksanakan kaedah bayaran tanpa tunai secara sepenuhnya, namun bagi mereka yang mempunyai kekangan dan tiada kad debit termasuk warga emas akan diberi pengecualian.







