
KUCHING – Sekitar 6,000 calon lulus ujian psikometrik bagi pengambilan khas guru di Sarawak.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, sebanyak 1,140 kekosongan sebelum ini ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Bagaimanapun, ujar beliau, pengambilan tersebut menarik minat lebih 15,000 pemohon dari Sarawak dan 2,000 lagi dari bahagian lain di Malaysia.
“Kami hanya menawarkan 1,140 kekosongan untuk pengambilan khas guru di Sarawak,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (Pameran SCaT) 2024 di Pusat Acara Hikmah Exchange pada Jumaat.
Susulan itu, Roland berkata calon yang disenarai pendek akan dijemput untuk menghadiri temu duga secara peribadi.
“Mereka yang disenarai pendek akan dipanggil ke temu duga bagi menentukan kesesuaian mereka dengan jawatan yang ada,” kata beliau lagi.