SETENGAH juta penduduk Gaza berada dalam keadaan tidak terjamin dari segi makanan dan berisiko menghadapi kebuluran.
Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia PBB (WFP), Cindy McCain, memberi amaran tersebut pada Ahad dan mengesa masyarakat antarabangsa meningkatkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan secara besar-besaran.
McCain mengkritik pihak berkuasa Israel ketika ditemu bual dalam program Face the Nation di CBS dengan menggambarkan situasi di Gaza sebagai satu bencana kerana Israel hanya membenarkan kemasukan bantuan secara terhad antara Mac hingga pertengahan Mei.
“Mereka hanya membenarkan beberapa trak masuk. Ini hanyalah setitis dalam lautan keperluan sebenar.
“WFP mampu membawa masuk kira-kira 600 trak setiap hari semasa tempoh gencatan senjata yang lalu, namun jumlah penghantaran kini menurun kepada sekitar 100 trak sahaja yang dianggap masih tidak mencukupi
“Kita perlu masuk dan masuk dalam skala besar serta dibenarkan memberi makanan kepada mereka sebelum bencana yang lebih besar berlaku,” katanya sambil menegaskan keperluan bantuan mesti dipertingkatkan, lapor Anadolu.
McCain turut menggesa agar tekanan diplomatik dikenakan ke atas Israel supaya bantuan dapat diteruskan.
“Kita tidak boleh hanya duduk diam dan menyaksikan penduduk di sana mati kebuluran tanpa sebarang campur tangan diplomatik dari luar untuk membantu.
“Penduduk Gaza kini sangat, sangat terdesak,” katanya.
Hampir 2.4 juta penduduk di Gaza kini sepenuhnya bergantung kepada bantuan kemanusiaan, menurut laporan Bank Dunia.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza, meskipun terdapat desakan antarabangsa agar diadakan gencatan senjata. Serangan tersebut telah mengorbankan lebih 53,900 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Selain itu, Israel kini turut menghadapi perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakannya terhadap penduduk awam tidak bersenjata di wilayah tersebut.









