
KANGAR – Seorang penolong akauntan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM416,503.91 yang didakwa disalahgunakan dalam tempoh lima tahun bermula 2020 hingga 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Atikah Ab Rashid bersama Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S. Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ghazali Cha.
Tertuduh, Rohaliza Roais, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Wanita itu yang ketika kejadian bertugas sebagai Pengurus Akaun sebuah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Perlis didakwa menyalahgunakan wang terimaan milik pertubuhan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan wang berjumlah RM116,299.61 sekitar tahun 2020 dengan melanggar arahan Prosedur Kualiti (PK-PA-03) berkaitan sistem merekod penerimaan tunai.
Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama membabitkan RM83,207.60 pada 2021, RM86,890.20 (2022), RM87,369.75 (2023) dan RM42,736.75 (2024).
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis pada 1 haribulan setiap bulan selain menyerahkan pasport dan pas sempadan kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 31 Mac depan bagi serahan dokumen berkaitan.




