JASIN: Festival D’ Bendang Melaka kali kedua yang akan diadakan di Sungai Rambai, di sini pada 9 hingga 11 Ogos ini dijangka bertambah meriah apabila mendapat kerjasama daripada beberapa agensi di bawah lima kementerian.
Selain Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan negeri sebagai penganjur bersama, festival berkenaan turut menarik penyertaan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MOA) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis, berkata festival kali kedua itu akan menyaksikan pelbagai penambahbaikan pengurusan serta aspek teknikal bagi melancarkan semua aktiviti yang dianjurkan.
Katanya, ia termasuk Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh KKDW selain program pameran serta jualan oleh agensi di bawah lima kementerian berkenaan.
“Semua agensi yang terbabit dalam program agro pelancongan yang menyertai festival ini akan bersama komuniti dalam menjalankan beberapa aktiviti selain bersedia memberikan perkhidmatan khusus buat golongan yang terbabit dalam sektor agro seperti pertani,pekebun, peladang, nelayan serta pengeluar makanan berasaskan produk pertanian.
Insya-Allah, kita juga akan memperkenalkan produk Melaka yang dihasilkan oleh masyarakat luar bandar untuk kita pamerkan kepada orang ramai, khususnya pelancong yang datang ke festival berkenaan,” katanya selepas meninjau persiapan festival itu di Kampung Parit Penghulu Benteng, di sini hari ini.
Festival itu akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Ogos dan dijangka dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Antara acara dan pertandingan yang dianjurkan sempena festival berkenaan adalah pertandingan memancing ikan puyu, gunti lengan, galah panjang, menggagau ikan, futsal, fun walk, pertandingan capteh, boling bendang, pukul bantal di bendang, basikal titi, tangkap itik, ratu bendang, anyam ketupat daun sawit serta masakan ikan air tawar.
Sementara itu, Siti Faizah yang juga Timbalan EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, berkata persiapan bagi penganjuran festival yang akan berlangsung minggu depan itu sudah siap lebih 60 peratus
Katanya, beliau menjangkakan program selama tiga hari itu menarik 10,000 pengunjung menerusi pelbagai pengisian dan aktiviti menarik sepanjang program itu berlangsung.
“Penganjuran program kali kedua diadakan ini pastinya lebih meriah dengan beberapa penambahbaikkan dibuat bagi memastikan program ini berjalan lancar termasuk penyediaan tapak parkir kereta yang lebih teratur.
“Selain itu, lebih 140 usahawan telah mendaftar untuk menyertai Mini KUD dan ramai yang menyatakan hasrat berminat untuk menyertainya walaupun tarikh pendaftaran dititup,” katanya.






