
KUANTAN – Sebaik sahaja dipilih sebagai wakil rakyat Pelangai pada Oktober tahun lalu, Datuk Amizar Abu Adam tidak lagi menoleh ke belakang.
Beliau bukan sahaja mahu melihat kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai bergerak maju seperti DUN lain, bahkan Pelangai juga wajar menjadi contoh kepada DUN yang berada di pinggir bandar.
Amizar bukanlah seorang yang baru dalam dunia politik, sebelum ini beliau pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Namun, nasib tidak menyebelahinya ketika itu apabila tewas tipis – dengan hanya 120 undi majoriti – dalam pertembungan tiga penjuru.
Selepas dipilih sebagai wakil rakyat, Amizar sekali lagi diberi peranan besar apabila dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi Pahang pada 13 Februari lalu.
Semua peranan dan amanah itu memberi suntikan semangat kepada Amizar untuk kekal fokus menjalankan tanggungjawab berkenaan.
“Ini semua adalah amanah dan saya masih lagi seperti dulu, saya anak peneroka Felda dan saya berpegang kepada nilai tertentu dalam menjalankan tugas,” ujarnya.
Empat nilai teras
Amizar memaklumkan beliau berpegang kepada empat nilai teras dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Pahang.

“Nilai itu adalah kebersamaan, kasih sayang, kejayaan dan keberkatan.
“Setiap nilai mewakili apa yang ingin saya capai bersama masyarakat di Pelangai.
“Jadi, saya berpegang kepada semua nilai ini demi menjayakan agenda pembangunan di Pahang secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Beliau berkata, tekadnya ketika berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai diteruskan sehingga hari ini.
“Semua perkara ini… ‘Ikhtiar Pelangai’… ‘Demi Pelangai Kita’ dengan niatnya adalah satu, untuk melihat kawasan Pelangai maju dari segala aspek,” katanya.
Portfolio strategik Felda
Sebagai Exco yang menggalas portfolio strategik seperti Felda pula, ia merupakan tanggungjawab yang sangat besar.
Menurutnya, Pahang memiliki 115 tanah rancangan Felda daripada tiga wilayah iaitu Kuantan, Jengka dan Mempaga dengan ketua isi rumah (KIR) 43126 peneroka.
Bagi tujuan itu, Jawatan Kuasa Muafakat Felda yang dipengerusikan oleh beliau sendiri juga telah ditubuhkan dengan pelbagai rancangan penstrukturan semula beberapa perkara asas terutama pembangunan komuniti.

Justeru itu tegasnya, semangat kebersamaan dalam kalangan warga peneroka Felda sangat penting dalam menjayakan segala perancangan kerajaan Pahang.
“Apabila lengkap empat K ini, saya fikir tidak ada alasan untuk melihat Felda dan negeri Pahang setanding dengan negeri lain,” jelasnya.






