
KOTA KINABALU – Kes jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Sabah mencatat peningkatan dengan 4,385 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga 19 April 2025.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Maria Suleiman berkata, sebanyak 83 peratus daripada kes melibatkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun, dengan majoriti jangkitan berlaku di rumah serta pusat pendidikan awal seperti taska, tadika dan pra-sekolah.
“Lima daerah mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Kota Kinabalu (705 kes), Papar (578), Penampang (450), Keningau (431) dan Tawau (262).
“Kesemua kes adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar. Tiada kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atau kematian dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya, kluster HFMD telah dikesan di 10 sekolah, dengan lima daripadanya diarahkan tutup sepenuhnya, manakala selebihnya hanya melibatkan penutupan beberapa kelas.
“Penutupan tersebut bersifat sementara bagi tujuan siasatan serta pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi memutuskan rantaian jangkitan.
“Langkah kawalan termasuk siasatan kes, persampelan makmal, promosi kesihatan serta pemeriksaan premis berisiko dilaksanakan mengikut Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan diri, mencuci tangan sebelum dan selepas menggunakan tandas serta mengelak berkongsi barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi.
“Kanak-kanak yang menunjukkan simptom HFMD perlu mendapatkan rawatan segera dan tidak dibenarkan berada di tempat awam atau pusat jagaan bagi mengelakkan penularan jangkitan,” tambah beliau.



