42,519 angka kematian terbaharu, rejim Israel serang Hospital Indonesia

GAZA – Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan rejim Israel sejak Oktober tahun lalu terus meningkat kepada 42,519 orang terkorban, 99,637 cedera, manakala puluhan ribu lagi tidak dapat dikesan akibat terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Terdahulu pada Sabtu, rejim Israel melakukan beberapa siri serangan udara dan darat yang yang menyasarkan kawasan utara Gaza terutamanya di Jabalia sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera, lapor Anadolu.

Sumber perubatan melaporkan bahawa empat individu maut dan lebih 15 yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan Tuba, dalam kem pelarian Jabalia.

Dalam insiden berasingan, pertahanan awam Palestin mengesahkan dua nyawa terkorban dan tujuh orang cedera selepas serangan ke atas rumah milik keluarga Saeedi di Jabalia.

Di tengah-tengah ketegangan di Jabalia, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan pasukan artileri Israel telah menyerang tingkat atas Hospital Indonesia yang menempatkan lebih 40 orang pesakit, mangsa cedera dan kakitangan perubatan.

Keadaan semakin kritikal apabila bekalan elektrik hospital tersebut tiba-tiba terputus sehingga membahayakan nyawa pesakit, terutamanya mereka yang bergantung kepada mesin oksigen.

Seorang sumber perubatan di Hospital Indonesia memberitahu bahawa dua pesakit di unit rawatan rapi meninggal dunia akibat kepungan tentera Israel yang memutuskan bekalan elektrik selama beberapa jam.

Pengarah hospital, Marwan Sultan, menggambarkan situasi tersebut sebagai amat genting, dengan sekurang-kurangnya 30 pesakit cedera, 10 daripadanya memerlukan sokongan oksigen segera malah nyawa pesakit berada dalam bahaya sekiranya bekalan elektrik tidak dipulihkan segera.

Di luar hospital, sekumpulan orang awam yang kehilangan tempat tinggal dan berlindung di kawasan sekitar turut menjadi sasaran serangan artileri, menyebabkan lebih banyak korban, menurut saksi.

Saksi melaporkan bahawa hospital kini dikepung tentera Israel dan pusat perlindungan berhampiran yang menempatkan ribuan pelarian.

Beberapa jam selepas serangan ke atas Hospital Indonesia, Hospital al-Awda di kawasan Tel al-Zaatar, Jabalia, turut menjadi sasaran artileri Israel, sekaligus menambah jumlah serangan yang mencetuskan ketegangan di kawasan tersebut.

Related Posts

Trump pelawa Pakistan sertai Lembaga Keamanan Gaza
  • SitiSiti
  • January 19, 2026

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump, selaku Pengerusi Lembaga Keamanan Gaza, menjemput Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, untuk menyertai badan antarabangsa itu, menurut Kementerian Luar Pakistan pada Ahad. Jurucakap kementerian berkenaan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Gaza umum jawatankuasa bagi pelan pemulihan
  • SitiSiti
  • January 19, 2026

JAWATANKUASA Kebangsaan Palestin bagi Pentadbiran Gaza secara rasmi mengumumkan senarai ahlinya pada Sabtu, dengan operasi awal akan bermula dari Kaherah sebelum dipindahkan ke Gaza bagi melaksanakan pelan bantuan kecemasan. Pengerusinya,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pihak berkuasa Thailand kenal pasti 3 suspek bom stesen minyak

Pihak berkuasa Thailand kenal pasti 3 suspek bom stesen minyak

Isu pindah tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman selesai

Isu pindah tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman selesai

Cemas ular tedung hitam ceroboh kediaman, APM bertindak pantas

Cemas ular tedung hitam ceroboh kediaman, APM bertindak pantas

Pemandu van Siam dihadapkan ke mahkamah kes langgar gadis hingga maut

Pemandu van Siam dihadapkan ke mahkamah kes langgar gadis hingga maut

Sarawak cadang AirBorneo jadi penerbangan rasmi Sukan SEA 2027

Sarawak cadang AirBorneo jadi penerbangan rasmi Sukan SEA 2027

Pindaan undang-undang bukti komitmen reformasi Kerajaan MADANI – Ahli Parlimen Miri

Pindaan undang-undang bukti komitmen reformasi Kerajaan MADANI – Ahli Parlimen Miri