
KUANTAN – Impian empat keluarga dari kawasan Parlimen Paya Besar memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan menerusi program Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.
Majlis penyerahan kunci RRP itu dilakukan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah semalam.
Beliau berkata, program RRP itu diperkenalkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi memastikan lebih ramai rakyat di negeri ini memiliki rumah yang selesa untuk keluarga mereka.
“Kita harap menerusi program yang sangat bagus ini, hasrat kerajaan Pahang dalam memastikan lebih ramai mampu memiliki kediaman tercapai.
“Selain mendapat rumah bernilai kira-kira RM80,000 secara percuma, penerima RRP juga dibekalkan dengan barangan keperluan asas seperti mesin basuh, televisyen dan dapur,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu Penyelaras Dewan Undangan Negeri Lepar, Mustaqim Zakaria.
Empat keluarga yang menerima RRP itu adalah dari Kampung Paya Rambutan, Kampung Melayu Gambang dan Kampung Paya Bungor.
Selain projek RRP, Kerajaan Pahang juga menyediakan pelbagai skim perumahan mampu milik kepada penduduk di negeri ini.
Antaranya PR1MA Pahang, Rumah Pahangku, Rumah Makmur dan Program Residensi Pahang.