IGAN – Seramai 355 peserta menyertai Fun Run Merdeka Igan yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke- 67.
Program Fun Run Merdeka dianjurkan buat kali pertamanya di Igan bertempat di padang Kampung Tengah Igan.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam program tersebut ialah kategori sekolah rendah, sekolah menengah, kategori dewasa dan kategori veteran.
Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai kepada johan pertandingan sehinggalah pemenang tempat ke-10.
Pendaftaran peserta bermula seawal 6 pagi, disusuli dengan acara senamrobik. Pelepasan peserta dirasmikan oleh ADUN N44, YB Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda Jaya.
“Penganjuran Fun Run ini sangat bermanfaat kepada pelbagai peringkat umur lebih – lebih lagi apabila acara tahun ini turut membuka kategori kepada murid sekolah rendah.”
“Acara ini juga mendorong pelajar sekolah rendah menceburkan diri dalam sukan marathon di samping dapat memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan mereka,” ujar Nirwana Malike@Sulhamid, guru di SK Kampung Igan.
Sementara itu, peserta program Fun Run Merdeka Igan, Julaihi Migu berkata acara ini pertama kalinya dianjurkan di Igan dan berharap dapat mempromosikan amalan hidup sihat dalam kalangan penduduk kampung.
Program ini anjuran bersama KRT Kampung Pulau Igan, Pusat Khidmat N44 Jemoreng, Pejabat Daerah Igan, Wadira Igan, Nadi Igan dan Sedidik Igan.
Turut hadir Pegawai Daerah Matu, Hamidah Hj Halpi, Ketua Kaum Kampung Tengah Igan Mohd Rizuan Mohammah Anuar dan Ketua Kaum Halman Ahmad.




