BEIRUT – Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa jumlah kematian akibat serangan berterusan Israel ke atas Lubnan sejak 8 Oktober tahun lalu, telah meningkat kepada 2,412 orang.
Tambah kenyataan itu, 45 orang telah terbunuh manakala 179 yang lain cedera dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah yang cedera kepada 11,267 orang, lapor Anadolu.
Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran menyasarkan Lubnan terhadap, menyebabkan lebih 1.34 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Terdahulu, tiga orang terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar Tayr Debba di selatan Lubnan, kata Kementerian Kesihatan pada Khamis.
Agensi berita negara NNA berkata bahawa pesawat pejuang Israel melakukan 15 serangan udara dalam satu malam di beberapa kawasan di selatan dan timur Lubnan, termasuk Tayr Debba, Ayta al-Shaab, Kfarkela, dan Ghandouriyeh.
Perkhidmatan Pertahanan Awam berkata bahawa pasukannya telah menemui mayat seorang lelaki dari dalam kereta yang terkena serangan udara Israel di jalan raya di bandar Chamaa di selatan Lubnan.
Menurut kenyataan jawatankuasa kecemasan kerajaan Lubnan, tentera Israel melakukan 138 serangan udara dalam tempoh 24 jam lalu di kawasan di seluruh Lubnan, kebanyakannya di selatan negara itu.









