
KOTA KINABALU – Seramai 21 Ketua Cabang PKR Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden.
Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Cabang PKR Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Nurul Izzah Anwar merupakan seorang tokoh wanita muda yang berprinsip, berwibawa dan berpengalaman luas dalam perjuangan reformasi sejak lebih dua dekad yang lalu.
“Nurul Izzah Anwar bukan sahaja simbol harapan rakyat malah menjadi suara progresif yang sentiasa memperjuangkan keadilan sosial, reformasi institusi dan hak rakyat di seluruh negara.
“Kami percaya bahawa kehadiran beliau di barisan kepimpinan tertinggi parti akan membawa nafas baharu, memperkukuh agenda reformasi serta mengangkat suara akar umbi, khususnya di Sabah yang selama ini memerlukan perhatian daripada pemimpin yang berjiwa rakyat dan peduli dengan perjuangan rakyat Sabah terutama pelaksanaan MA63,” katanya di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan itu lagi, Nurul Izzah dianggap sebagai Puteri Reformasi mampu untuk memartabatkan imej parti dalam kalangan generasi muda.
“Memberi harapan dan nafas baharu kepada gerakan reformasi dalam menjayakan Gagasan Malaysia MADANI.
“Namun penilaian risiko perlu dibuat sebelum pengumuman dibuat,” ujarnya.
Tambahnya, PKR tidak mahu parti terus bergolak dengan pelbagai spekulasi yang banyak menimbulkan keraguan dan syak wasangka.
“Kita perlu memastikan Parti Reformasi ini terus didokong oleh rakyat dan menjadi harapan untuk masa depan yang lebih baik.
“Kita perlu kembali kepada asas penubuhan parti ini dan idealisma perjuangan yang kita dokong selama ini,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah, pimpinan PKR Sabah berharap segala keputusan yang diambil akan terus mengukuhkan parti di mata rakyat dan meningkatkan keyakinan dalam kalangan ahli dan pengundi.