
BETONG – Seramai 142 warga pendidikan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2025, manakala 43 pesara diraikan menerusi Majlis Jasamu Dikenang bagi tahun 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, penganugerahan APC bukan sekadar penghargaan berbentuk sijil atau hadiah, sebaliknya simbol pengiktirafan kerajaan terhadap kualiti kerja, integriti dan komitmen tinggi penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab.
Beliau berkata, penerima anugerah diharap terus mengekalkan kecemerlangan serta menjadikan pengiktirafan itu sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan inspirasi kepada rakan sejawat yang lain.
“Syabas dan tahniah kepada semua penerima APC atas kecemerlangan, daya usaha dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada 43 pesara tahun 2026 atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan, khususnya dalam membimbing generasi muda di daerah itu.
Beliau berkata, tempoh perkhidmatan yang panjang bukanlah satu perjalanan mudah kerana menuntut kecekalan, kesabaran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah.
Sehubungan itu, beliau berharap para pesara dapat menikmati fasa kehidupan baharu dengan kesihatan yang baik, kesejahteraan serta kebahagiaan bersama keluarga.
Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama itu selaras dengan aspirasi untuk membangunkan modal insan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kesejahteraan emosi.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor pendidikan merupakan tonggak penting pembangunan kesejahteraan masyarakat, manakala dedikasi warga pendidik dan warga kerja PPD Betong bukan sahaja melahirkan generasi berilmu, malah membentuk sahsiah serta nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Beliau berharap semua warga pendidikan terus berbakti dan menyumbang kepada kemajuan sektor pendidikan serta kesejahteraan negeri Sarawak.






