TAWAU – Pelbagai insentif yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 termasuk kenaikan gaji minimum mencerminkan Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara serta mengambil kira keperluan rakyat.
Naib III Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Fung Thin Yein berkata, usaha itu dilihat mengambil kira keperluan semasa dalam merangka dasar dan inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat negara ini.
“Peningkatan bantuan serta pelarasan gaji minimum ini merupakan langkah positif kerana rakyat memerlukan sokongan yang mampu memberikan kesan langsung kepada perbelanjaan harian dan kestabilan kewangan keluarga.
“Ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup, memperkukuh ekonomi isi rumah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Sabah,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Jumaat.
Jelas Ketua Cabang PKR Tawau itu, Belanjawan 2027 bukan sekadar pengumuman angka dan peruntukan, tetapi perlu dilihat sebagai usaha memastikan rakyat mempunyai kuasa beli yang lebih baik, pendapatan yang lebih munasabah dan peluang menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
Katanya, ini termasuk peningkatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pemberian bantuan RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Fung berkata perhatian kerajaan terhadap sektor pendidikan dan kebajikan turut memberikan manfaat besar kepada keluarga, khususnya di Sabah, menerusi peningkatan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200, Elaun Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam sebanyak RM2,500 dan Bantuan FLYsiswa kepada RM500.
Beliau berkata, langkah meningkatkan bantuan kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas kepada RM200 sebulan serta Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar kepada RM600 sebulan juga mencerminkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan sokongan berterusan.
“Dalam masa sama, pengurangan kadar cukai pendapatan bagi golongan pertengahan, pelepasan cukai individu sehingga RM12,000 dan pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 berpotensi membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.
“Penambahbaikan kemudahan pengangkutan awam, bantuan pembaikan rumah mangsa bencana sehingga RM10,000 serta rebat pembelian barangan cekap tenaga juga menunjukkan usaha kerajaan menangani keperluan rakyat daripada pelbagai sudut,” kongsinya.
Sehubungan itu, Fung menyeru penduduk Tawau dan Sabah supaya mendapatkan maklumat tepat mengenai syarat kelayakan serta memanfaatkan bantuan dan insentif yang disediakan mengikut keperluan masing-masing.
“Kita sedia membantu menyebarluaskan maklumat berkaitan inisiatif berkenaan bagi memastikan rakyat yang layak tidak tercicir daripada menerima manfaat Belanjawan 2027.
“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan setiap inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran, sekali gus memperkukuh ekonomi isi rumah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara adil dan menyeluruh,” ujarnya.
2 pekerja restoran didakwa pecah amanah RM58,000
KUANTAN – Dua pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah lebih RM58,000 dari awal tahun ini. Menurut laporan…
Lebih lanjut




