TAWAU – Seramai 140 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, menggunakan kemudahan feri komersial, pada Khamis.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (Imigresen Sabah) dalam kenyataan memaklumkan, pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar.
“Mereka terdiri daripada 96 lelaki dewasa, 30 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berumur antara satu hingga 70 tahun.
“Kanak-kanak yang menyertai program berkenaan turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” menurut Imigresen Sabah, pada Jumaat.

Pada 12 Oktober lalu, Depot Imigresen Kota Kinabalu turut melaksanakan pemindahan 29 warga Filipina melalui laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Manila.
Pemindahan itu membabitkan 23 lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, selain tujuh warga China yang terdiri daripada empat lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa dipindahkan ke Guangzhou, China.
Tambah Imigresen Sabah, sejak Januari sehingga kini, seramai 5,951 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
“Daripada jumlah itu, 1,769 merupakan warga Indonesia, Filipina (4,003), Pakistan (132), China (139), Vietnam (25) dan lain-lain kewarganegaraan (23).
“Kesemua tahanan berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” jelasnya.
Sehubungan itu, Imigresen Sabah menyeru semua pihak supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai turut diminta segera melaporkan kegiatan PATI melalui saluran rasmi Imigresen Sabah termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).





