
PASIR MAS – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua berusia 14 tahun maut disambar petir ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing di kawasan bendang berhampiran Kampung Tasek Berangan, Repek, di sini pada petang Isnin.
Mangsa, Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang, meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas.
Ketika kejadian, mangsa bersama dua rakannya dan seorang sepupu sedang berjalan menuju ke motosikal yang diletakkan berhampiran kawasan bendang untuk pulang ke rumah.
Sepupu mangsa, Mohd Haziq Qoyyum Rosli, 12, berkata, arwah pada awalnya enggan pulang kerana masih seronok memancing, namun akhirnya bersetuju selepas dua kali diajak berikutan hujan semakin lebat.
“Kami hampir sampai di tempat parkir motosikal apabila tiba-tiba kilat menyambar arwah yang ketika itu membawa jorannya.
“Saya bersama dua lagi rakan yang berada di belakang arwah turut rebah sebaik sahaja kilat menyambar. Saya sempat melihat tubuh arwah mengeluarkan asap,” katanya.
Mohd Haziq berkata, dia kemudian bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum pulang ke rumah untuk meminta pertolongan selepas melihat arwah terbaring kaku di tanah.
“Saya sangka arwah pengsan, tetapi apabila ahli keluarga lain tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkannya, arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Bapa mangsa, Abdul Hadi Abdul Ghani, 60, berkata, dia hanya mampu memangku anak bongsu daripada lima beradik itu ketika tiba di lokasi kejadian.
Abdul Hadi berkata, dia reda dengan pemergian anaknya
Foto: Sinar Harian



