Belanjawan 2027: Langkah ringankan beban rakyat, peluasan insentif disambut baik

MIRI – Langkah Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 yang memberi tumpuan kepada kos sara hidup, perlindungan kesihatan dan pendidikan disambut baik oleh Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Choon Man yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, beberapa inisiatif yang diumumkan dijangka mampu membantu mengurangkan tekanan kewangan isi rumah, termasuk bagi penduduk di Sarawak.

Antaranya ialah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM16 bilion pada tahun 2027 berbanding RM15 bilion tahun ini. Belanjawan tersebut turut memperluas SARA kepada kumpulan M40 menerusi pemberian RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR.

“Peningkatan bantuan ini amat tepat pada masanya dan dapat membantu keluarga menampung sebahagian keperluan harian dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau turut menyambut baik kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, serta peluasan pelepasan yang melibatkan kos penjagaan ibu bapa, datuk dan nenek, pendidikan, dan penjagaan selepas bersalin.

Dalam sektor kesihatan, Choon Man menyifatkan pelaksanaan Pelan MediAsas secara nasional mulai Januari 2027 sebagai langkah positif dalam memperluaskan akses kepada perlindungan perubatan pada kadar yang lebih mampu milik.

Ia turut membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur di bawah 55 tahun menggunakan Akaun Sejahtera bagi membayar premium MediAsas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan pelan tersebut perlu dipantau bagi memastikan kadar premium kekal berpatutan, manfaat perlindungan mudah difahami, dan proses tuntutannya tidak membebankan pengguna.

Pada masa yang sama, beliau mengalu-alukan pengumuman bahawa lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun 2027, berserta kenaikan bayaran insentif pos basik kepada 47,000 anggota paramedik dan jururawat daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

“Pengukuhan tenaga kerja ini diharap turut membantu memenuhi keperluan mendesak fasiliti kesihatan di Sarawak, terutamanya di Hospital Miri dan kawasan luar bandar,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pembangunan wilayah, Choon Man berkata peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sarawak berjumlah RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion tahun ini merupakan satu perkembangan yang amat memberangsangkan.

Kerajaan turut menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak melibatkan 4,200 pelajar setahun.

Bagi sektor pendidikan, peruntukan Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, manakala elaun sara hidup RM2,500 diperuntukkan kepada pelajar Tingkatan Enam.

Bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI 2027 pula dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 60,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam.

“Bantuan tiket penerbangan ini sangat penting dan bermakna kepada pelajar Sarawak yang perlu melakukan perjalanan jauh merentas Laut China Selatan untuk melanjutkan pengajian,” jelasnya yang turut berharap peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan dengan telus.

Bagi sektor perniagaan, beliau menyokong langkah memperluas pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk peningkatan keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan kepada RM57 bilion pada 2027.

Usaha kerajaan meneliti perundangan bagi melindungi PMKS tempatan daripada persaingan tidak adil syarikat e-dagang asing juga dialu-alukan.

“Keberkesanan Belanjawan 2027 ini akhirnya bergantung kepada pelaksanaannya. Saya akan terus membawa suara rakyat Miri dan memantau perlaksanaan langkah-langkah ini supaya keperluan masyarakat setempat terus diberi perhatian,” tambahnya.

  • Related Posts

    Stesen minyak baharu di Julau perlu siap dalam tempoh 18 bulan

    KUCHING – Sebuah stesen minyak baharu bakal dibangunkan di Julau selepas permohonan penggunaan sebahagian Lot 480, Blok 3, Daerah Tanah Jikang (Jikang Land District) bagi tujuan tersebut diluluskan oleh kerajaan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Lima kru Myanmar ditahan, langgar syarat lesen dan imigresen

    LUMUT – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) selepas disyaki melanggar syarat lesen perikanan dan peraturan imigresen, selain melibatkan lima kru warga Myanmar…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Stesen minyak baharu di Julau perlu siap dalam tempoh 18 bulan

    Stesen minyak baharu di Julau perlu siap dalam tempoh 18 bulan

    Tiada lagi pelarian diberi dokumen masuk Malaysia selepas 2023

    Tiada lagi pelarian diberi dokumen masuk Malaysia selepas 2023

    Lima kru Myanmar ditahan, langgar syarat lesen dan imigresen

    Lima kru Myanmar ditahan, langgar syarat lesen dan imigresen

    Jangan bertindak sendiri terhadap pelarian, serah kepada pihak berkuasa

    Jangan bertindak sendiri terhadap pelarian, serah kepada pihak berkuasa

    Rakyat hargai inisiatif tingkat pendapatan, pendidikan dan tangani kos sara hidup

    Rakyat hargai inisiatif tingkat pendapatan, pendidikan dan tangani kos sara hidup

    MCMC teliti video dakwaan maklumat palsu berkaitan SST, pelepasan cukai

    MCMC teliti video dakwaan maklumat palsu berkaitan SST, pelepasan cukai