
PUTRAJAYA – Perbahasan Belanjawan 2027 tidak seharusnya dicemari spekulasi penukaran kerajaan yang tidak disertai hujah substantif sehingga mengetepikan penelitian terhadap dasar dan peruntukan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Penganalisis sosiopolitik, keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, jika Ketua Pembangkang berpandangan kerajaan sedia ada gagal menguruskan negara, hujah itu harus diterjemahkan menerusi bukti jelas, analisis dasar dan tawaran pentadbiran alternatif.
Menurut beliau, dakwaan bahawa kerajaan bakal bertukar tanpa penjelasan substantif tentang bagaimana perubahan itu akan memperbaiki keadaan negara disifatkan tidak memadai untuk membuktikan bahawa pembangkang mempunyai kesiapsiagaan untuk memerintah.
“Sekiranya beliau berpandangan bahawa kerajaan sedia ada gagal menguruskan negara, hujah tersebut perlu diterjemahkan melalui bukti yang jelas, analisis dasar dan tawaran pentadbiran alternatif.
“Belanjawan negara bukan sekadar dokumen kewangan tahunan, sebaliknya merupakan instrumen strategik yang menentukan keupayaan kerajaan membiayai sektor pendidikan, kesihatan, pertahanan, keselamatan sempadan dan perlindungan sosial.
“Oleh itu, Ketua Pembangkang sewajarnya menggunakan kedudukan tersebut untuk meneliti kecukupan peruntukan, mengenal pasti kelemahan pelaksanaan serta mencadangkan penambahbaikan yang boleh memberikan manfaat langsung kepada rakyat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, perkara yang perlu ditegur bukanlah hasrat untuk menukar kerajaan, tetapi kecenderungan menjadikan spekulasi perebutan kuasa sebagai tumpuan sehingga perbahasan dasar berisiko terpinggir.

“Sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut memikul tanggungjawab untuk memastikan perbahasan yang dibawa memberikan nilai tambah kepada kepentingan rakyat dan negara.
“Teguran kritisnya ialah apabila isu penukaran kerajaan diberikan penekanan berlebihan sehingga mengatasi penelitian terhadap dasar belanjawan, ia boleh menimbulkan persoalan tentang keutamaan sebenar pembangkang.
“Retorik politik yang tidak disertai asas yang kukuh boleh meningkatkan persepsi ketidaktentuan, sedangkan negara memerlukan kesinambungan dasar, keyakinan terhadap institusi dan persekitaran politik yang membolehkan perancangan ekonomi serta keselamatan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Dari perspektif keselamatan, Nur Ashikin berkata, sekiranya kenyataan mengenai penukaran kerajaan berulang kali digunakan tanpa asas yang jelas dan disertai ketidaktentuan sebenar dalam institusi atau dasar, keadaan tersebut berpotensi menimbulkan persepsi risiko politik.
Katanya, kestabilan politik merupakan salah satu prasyarat penting kepada ketahanan ekonomi, kepercayaan awam dan keberkesanan institusi negara selain pelabur asing bukan sahaja menilai kadar keuntungan dan kos operasi, malah mempertimbangkan kebolehramalan dasar, kepastian undang-undang dan keupayaan kerajaan mengekalkan persekitaran perniagaan stabil.
“Pelabur mungkin mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap keputusan pelaburan jangka panjang, khususnya dalam sektor yang memerlukan komitmen modal besar seperti semikonduktor, tenaga, infrastruktur dan teknologi strategik.
“Risiko hanya menjadi lebih ketara apabila retorik tersebut diterjemahkan kepada ketidakpastian dasar, gangguan pentadbiran atau ketidakupayaan institusi membuat keputusan secara konsisten walaupun kenyataan itu tidak secara automatik sebabkan kemerosotan pelaburan atau mengancam keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, Nur Ashikin berkata, pembangkang perlu beralih daripada politik berorientasikan penolakan kepada politik penyelesaian yang bukan sahaja meningkatkan mutu semak dan imbang, malah membuktikan kepada rakyat bahawa pembangkang mempunyai keupayaan untuk memikul tanggungjawab pentadbiran.
“Sekiranya perbahasan lebih tertumpu pada kemungkinan perubahan kerajaan berbanding penelitian isu-isu tersebut, pembangkang berisiko mewujudkan tanggapan bahawa agenda mendapatkan kuasa lebih utama daripada tanggungjawab memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Tanggapan ini boleh melemahkan keyakinan masyarakat terhadap Parlimen sebagai institusi yang sepatutnya menjadi medan penyelesaian masalah nasional. Kritikan ini perlu diletakkan dalam kerangka yang adil.
“Pembangkang bukan bertanggungjawab menyokong kerajaan, dan tidak semua kenyataan keras mencerminkan ketidakmatangan politik. Sebaliknya, kematangan perlu dinilai berdasarkan sama ada sesuatu kritikan mempunyai asas, sama ada dikemukakan secara bertanggungjawab dan terdapat penyelesaian boleh dinilai keberkesanannya,” katanya.





