
KUALA LUMPUR – Hubungan akrab antara Malaysia dan Jordan berpotensi besar untuk terus diperkukuh melalui pelbagai kerjasama dua hala, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, pembangunan kemahiran dan industri halal.
Perkara tersebut dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika berkenan menerima kunjungan Raja Abdullah II Ibn Al Hussein, Raja Kerajaan Hashimiah Jordan, di Istana Negara, hari ini.
Keberangkatan tiba Raja Abdullah II disambut mesra oleh Sultan Ibrahim sebelum berlangsung Istiadat Sambutan Negara, termasuk pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta alunan lagu kebangsaan Jordan dan Negaraku.
Pertemuan diteruskan dengan perbincangan bersama delegasi Malaysia dan Jordan di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta meneroka peluang kerjasama yang lebih luas demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.
Dalam titahnya, Sultan Ibrahim berharap hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jordan dapat dipertingkatkan dengan memanfaatkan asas persahabatan yang telah terjalin sekian lama bagi membina kerjasama ekonomi yang lebih kukuh dan bermakna.
Baginda turut menegaskan bahawa kedudukan strategik Malaysia serta sektor perindustriannya yang semakin berkembang menawarkan pelbagai peluang menarik kepada pelabur dari Jordan.
Selain perdagangan dan pelaburan, Seri Paduka Baginda menyentuh kepentingan sektor pendidikan, pembangunan kemahiran, ekosistem halal dan minyak sawit sebagai bidang berpotensi untuk diterokai bersama.
Sultan Ibrahim turut menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara yang turut diperkukuh melalui institusi diraja masing-masing, yang mempunyai sejarah panjang serta memainkan peranan penting dalam mempertahankan warisan negara dan berkhidmat kepada rakyat merentasi generasi.
Menurut Baginda, meskipun Malaysia dan Jordan mempunyai latar belakang sejarah serta budaya yang berbeza, kedua-dua institusi diraja berkongsi legasi dalam memelihara warisan negara dan institusi masing-masing.
Raja Abdullah II turut diraikan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Majlis Santapan Negara yang berlangsung di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.
Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta ahli-ahli Kabinet dan barisan kepimpinan kanan kerajaan.






