
KOTA BHARU – Seorang guru wanita berusia 57 tahun yang terbabit dalam kejadian merempuh dua pelajar Tingkatan Satu di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada April lalu akan didakwa di Mahkamah Kota Bharu esok.
Guru berkenaan akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 304A dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.
“Guru berkenaan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan menyebabkan kecederaan,” katanya.
Dalam kejadian pada 12 April lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu guru wanita berkenaan di hadapan surau SMK Tanjong Mas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri sebelum ini berkata, kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu membabitkan dua pelajar perempuan.
Siasatan awal mendapati pemandu wanita berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan terbabas lalu merempuh kedua-dua mangsa.
Gambar: RTM







