
PUTRAJAYA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersetuju mengambil langkah perlu bagi menangani situasi yang menyebabkan jerebu di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, persetujuan itu dicapai menerusi perbualan telefon bersama Prabowo hari ini susulan keadaan jerebu yang kini membimbangkan.
“Soal jerebu memang membimbangkan. Saya telah hubungi sendiri Presiden Prabowo, beliau setuju ambil langkah yang perlu,” katanya yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita selepas meninjau persediaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia sejak beberapa minggu lalu sudah menyatakan kesediaan menghulurkan apa sahaja bentuk kerjasama kepada Jakarta memandangkan situasi jerebu kini membimbangkan dari sudut kesihatan rakyat.
“Jadi kita (Malaysia) menyatakan sejak beberapa minggu yang lalu kesediaan kita untuk memberikan apa sahaja kerjasama kerana jerebu ini membimbangkan dan saya tahu ia meresahkan kesihatan rakyat.
“Pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan kesannya. Kita umpamanya meningkatkan hampir saban hari (operasi) pembenihan awan dan hujan oleh TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan beberapa agensi yang berkait tetapi keadaan itu masih merunsingkan,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menghubungi rakan sejawat masing-masing bagi memperkukuh usaha menangani situasi jerebu.
Beliau berkata, Mohamad turut diminta menghubungi Sekretariat ASEAN bagi memohon penyelarasan mesyuarat Menteri-Menteri Berkaitan Alam Sekitar.
Setakat jam 3 petang ini, sebanyak 38 kawasan di Malaysia mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan tertinggi 190 direkodkan di Segamat, Johor.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, sebanyak 304 titik panas dikesan di Indonesia, iaitu 94 di Kalimantan dan 210 di Sumatera, manakala satu titik panas dicatatkan di Pahang.
ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di bahagian selatan dan tengah Sumatera, Singapura serta bahagian selatan Semenanjung Malaysia.




