
KUCHING – Pembukaan rasmi Jambatan Sejingkat dijangka menjadi pemangkin baharu kepada kerancakan ekonomi setempat, selain berfungsi sebagai laluan alternatif penting yang menghubungkan kawasan Kota Samarahan dan Kuching.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, infrastruktur sepanjang 1,281.2 meter yang merentasi Sungai Sarawak itu membolehkan pergerakan masyarakat di kedua-dua kawasan menjadi lebih lancar dan efisien.
Beliau menjelaskan, kemudahan tersebut secara langsung membuka peluang yang lebih meluas kepada perkembangan kawasan sekitar serta kegiatan sosioekonomi, di samping mengurangkan kebergantungan pengguna kepada laluan sedia ada.
“Dengan adanya jambatan ini, masyarakat dari Kota Samarahan dan kawasan sekitarnya yang menuju ke Sejingkat dapat bergerak dengan lebih mudah. Ia akan membuka lebih banyak peluang kepada kegiatan ekonomi di sekitarnya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Prapembukaan Jambatan Merentas Sungai Sarawak di Sejingkat, pada Isnin.

Jambatan tersebut telah mula dibuka untuk akses orang awam bermula jam 10 pagi.
Menyentuh soal kelestarian dan kecekapan, Uggah memaklumkan laluan baharu itu diunjurkan mampu menjimatkan lebih 3,500 jam masa perjalanan kenderaan setiap hari, sekali gus menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida kira-kira 60,000 tan setahun.
Selain fungsinya sebagai laluan penghubung, beliau turut berkongsi keistimewaan projek berkenaan yang menampilkan reka bentuk kejuruteraan unik dikenali sebagai Diamond Island, yang merupakan satu-satunya struktur seumpamanya di Malaysia.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak


