
LEEDS United membelasah Newcastle United 4-1 di Elland Road awal pagi tadi untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama kepada pengurus baharu The Magpies, Matthias Jaissle.
Gol sendiri Lewis Miley pada minit ke-19 membuka kenduri jaringan Leeds selepas rembatan Ao Tanaka terkena dua pemain Newcastle.
Dua minit kemudian, tandukan James Justin yang terkena Jayden Bogle menggandakan kedudukan tuan rumah.
Dominic Calvert-Lewin kemudian meledak gol kelima berturut-turut di laman sendiri, selepas dengan mudah melepasi Sven Botman sebelum menolak bola melepasi Lukas Hornicek pada minit ke-34.
Noah Okafor melengkapkan pesta gol Leeds dengan voli dari luar kotak penalti pada minit ke-58.
Bazoumana Toure hanya mampu menjaringkan gol sagu hati Newcastle pada masa kecederaan.
Kemenangan itu melonjakkan Leeds ke tangga ketiga dengan 8 mata, di belakang Arsenal dan Manchester City. Newcastle pula kekal 5 mata dan jatuh ke tangga ke-12.
Perlawanan turut dibayangi kecederaan Nico Gonzalez yang terpaksa dikeluarkan awal permainan akibat gegaran otak.
Jaissle terpaksa menurunkan pemain muda Sean Steur, 18, bergandingan dengan Miley, 20, di bahagian tengah.
“Kami akan melalui naik turun serta pelbagai cabaran. Ia memang sangat sukar,” kata Jaissle.
Sebaliknya, pengurus Leeds, Daniel Farke memuji persembahan anak buahnya. “Permulaan sempurna. Ada tenaga, kualiti dan struktur permainan yang baik,” katanya.








