ALOR SETAR – Bekalan Baja Padi 3 dilaporkan telah tiba di kawasan pesawah padi Kedah hari ini, kurang daripada 10 hari selepas isu bekalan tersebut mendapat perhatian kerajaan.
Menurut kenyataan yang dikongsikan, penghantaran secara berperingkat telah dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ke 15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah MADA bagi memastikan keperluan pesawah dapat dipenuhi secepat mungkin.
“Alhamdulillah, hari ini Baja Padi 3 dah sampai ke PPK, tak sampai 10 hari.
“Penghantaran berperingkat telah dibuat ke 15 PPK MADA seberapa segera oleh NAFAS,” kata Shazwan Suban.
Perkembangan tersebut turut dirakamkan sebagai hasil campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam menyelesaikan masalah bekalan yang dihadapi pesawah.
Tindakan kerajaan sebelum ini termasuk membatalkan kontrak syarikat yang didakwa tidak mampu memenuhi bekalan dan menyerahkan semula tanggungjawab pembekalan kepada NAFAS.
Shazwan yang turut mempunyai pengalaman sebagai pesawah berkata, usaha membantu golongan pesawah bukan hanya tanggungjawab pihak pembangkang, sebaliknya semua pihak termasuk kerajaan perlu memainkan peranan.
“Saya juga tanam padi. Kami juga berperanan. Bukan pembangkang sahaja berperanan, tetapi dalam konteks kerajaan, kita perlu bantu semua pesawah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan pengalaman pasukannya ketika berada dalam NAFAS bagi tempoh 2018 hingga 2020, yang menurutnya menyaksikan usaha untuk membanteras apa yang didakwanya sebagai kartel baja.
Menurut beliau, pasukannya ketika itu menemui dakwaan kerugian dan penyelewengan membabitkan nilai lebih RM50 juta serta merancang untuk menghapuskan kegiatan kartel berkenaan.
Namun, katanya, usaha tersebut tidak dapat diteruskan selepas perubahan kerajaan.
Beliau turut mendakwa keadaan kewangan NAFAS kemudiannya berdepan pelbagai cabaran, termasuk isu hutang dan kedudukan kewangan yang negatif.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi dan jabatan di bawah kementerian berkenaan melaksanakan reformasi secara menyeluruh.
“Reform habis-habisanlah KPKM dan agensi serta jabatan di bawahnya,” katanya.
Perkembangan terbaru mengenai penghantaran Baja Padi 3 itu dijangka memberi kelegaan kepada pesawah Kedah yang memerlukan bekalan input pertanian mengikut jadual bagi memastikan kelancaran musim penanaman padi.





