GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket dadah antarabangsa melibatkan empat rakyat tempatan yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah sejak Jun lalu dengan rampasan 252.2 kilogram (kg) Methamphetamine bernilai RM4.31 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kegiatan itu terbongkar sejurus penahanan seorang lelaki tempatan menerusi sekatan jalan oleh pasukan polis daerah Hua Hin Wilayah Prachuap Khiri Khan, Thailand, pada 8 Ogos lalu.
Menurutnya, suspek lelaki terbabit turut ditahan bersama seorang wanita warga Thailand menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB), Royal Thai Police.
“Hasil pemeriksaan terhadap kereta suspek jenis BMW itu telah menemui bungkusan 166 kilogram (kg) dadah disyaki jenis Methamphetamine.
“Siasatan lanjutyang dijalankan oleh PNSB telah membawa kepada perkongsian maklumat risikan dengan JSJN Bukit Aman berhubung penglibatan ahli sindiket yang dipercayai menggunakan kenderaan yang didaftarkan di negara ini bagi tujuan membawa dan menyembunyikan dadah,” katanya.
Dennis memberitahu, berdasarkan maklumat itu, JSJN telah menjalankan risikan dan tindakan susulan di Malaysia dan hasilnya telah melancarkan ‘Op Zoraptera’ bagi menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Jelas beliau, operasi yang dijalankan di Selangor dan Pulau Pinang pula telah membawa kepada penahanan empat suspek terdiri tiga lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand yang masing-masing berusia 19 hingga 25 tahun.
“Dalam tiga siri serbuan yang dijalankan telah berjaya merampas 83 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat 86.2kg.
“Jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas hasil kerjasama dan perkongsian risikan antara PNSB dan JSJN adalah sebanyak 252.2 kg dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas di Malaysia dianggarkan bernilai RM4.31 juta,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan modus operandi dengan mengubah suai tempat duduk penumpang belakang hingga ke ruang but bagi tujuan mengangkut dadah.
“Kenderaan yang diubah suai tersebut dipercayai digunakan sebagai medium pengangkutan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
“Sindiket ini dipercayai telah aktif sejak Jun tahun lalu dan mempunyai rangkaian yang melibatkan aktiviti pengedaran dadah merentas sempadan. Suspek juga dikatakan memperoleh upah sebanyak RM6,000 setiap orang. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek didapati positif dadah jenis ketamin, manakala kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.






