
TAWAU – Insiden pergaduhan pelajar yang tular sejak dua minggu lalu perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak bahawa pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai hormat-menghormati adalah tanggungjawab bersama.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah, masyarakat dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk generasi muda.
“Pendirian tegas Jabatan Pendidikan Sabah bahawa sebarang salah laku pelajar tidak akan dikompromi adalah wajar dan perlu disokong semua pihak.
“Siasatan menyeluruh perlu diberikan ruang agar tindakan sewajarnya dapat diambil berasaskan fakta dan peraturan sedia ada, ” Katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidika Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau serta pihak sekolah dalam menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, Andi turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha memperkukuh keselamatan, kebajikan serta pembangunan sahsiah anak-anak demi masa depan mereka.
Baru-baru ini, lapan pelajar sekolah menengah direman selepas disyaki terbabit pergaduhan yang tular dipercayai berpunca daripada penyebaran kandungan seksual dimanipulasi menggunakan AI.
Kesemua mereka berumur 13 dan 14 tahun itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.






