
CYBERJAYA – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026, lebih tinggi berbanding 5.4 peratus yang direkodkan pada suku pertama tahun ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peningkatan itu membuktikan aktiviti ekonomi negara terus berkembang meskipun berdepan tekanan akibat ketidaktentuan geopolitik.
Beliau berkata, angka Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut mencerminkan keberkesanan langkah intervensi kerajaan dalam mengurangkan kesan gangguan terhadap ekonomi negara.
“Dari segi angka, sudah pasti kita menyambut baik apabila pertumbuhan itu mencatatkan 5.8 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku pertama. Apabila kita tengok, pertumbuhan ekonomi itu berdasarkan asas daripada yang lepas. Jadi, sebab itu menunjukkan (ekonomi) masih kuat atau kukuh.
“Pada masa sama, ia (anggaran awal) itu juga memberi gambaran intervensi yang kita lakukan dapat meredakan kebimbangan atau gangguan yang sangat ketara dari segi kegiatan ekonomi,” katanya pada sidang media selepas sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU): Suara, Visi dan Aspirasi di sini hari ini.
Terdahulu, DOSM menerusi laporan Anggaran Awal KDNK Suku Kedua 2026 memaklumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini selepas merekodkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut DOSM, prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penguncupan.
Akmal berkata, pencapaian itu turut menggambarkan keberkesanan langkah kerajaan dalam mengurus kesan ketegangan di Asia Barat yang memberi tekanan terhadap bekalan minyak, harga serta berpotensi mengganggu bekalan input industri.
Beliau berkata, sejak konflik tersebut tercetus, kerajaan memantau perkembangan semasa menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan setiap minggu.
Katanya, antara keputusan utama MTEN ialah memastikan bekalan minyak negara kekal mencukupi, mengurus kestabilan harga supaya tidak membebankan rakyat serta melaksanakan pelbagai intervensi bagi mengelakkan gangguan bekalan input sehingga menjejaskan operasi industri.
“Alhamdulillah, sehingga hari ini tidak berlaku putus bekalan pada peringkat negara. Dari segi harga kita perlu menguruskannya dan memastikan tidak membebankan rakyat secara terlalu ketara.
“Kita juga melihat intervensi untuk mengelakkan berlakunya penutupan mana-mana industri kerana gangguan bekalan input. Perkara itu kita berjaya atasi untuk kesan yang lebih ketara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu selesa dengan prestasi pertumbuhan KDNK suku kedua memandangkan konflik geopolitik yang berlaku masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
“Kita tahu konflik itu belum ada tanda-tanda pengakhiran yang jelas. Ketegangan itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan boleh memuncak dalam keadaan yang begitu pantas.
“Maka sebab itu kita perlu terus berwaspada dengan apa-apa cabaran yang boleh berlaku,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa manfaat pertumbuhan ekonomi perlu dinikmati secara menyeluruh, khususnya oleh usahawan kecil dan bumiputera, supaya pertumbuhan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Memang di peringkat tertinggi, dari segi pertumbuhan ekonomi kita perlu terus kekalkan momentum kerana pertumbuhan ekonomi akan terus memberi keyakinan dan akan terus mengembangkan lagi potensi yang ada.
“Bagaimanapun pada masa yang sama, ruang itu perlu juga dilihat dari segi cara untuk peluang dan manfaat itu dapat dinikmati atau dimanfaatkan bersama oleh peniaga-peniaga kecil atau usahawan,” katanya.





