PUTRAJAYA – Sentimen kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka tidak memberi kesan positif terhadap sokongan pengundi atas pagar di Negeri Sembilan yang kini lebih menilai prestasi semasa Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis sosiopolitik, keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, kemenangan di Johor hanya memberikan momentum psikologi dan suntikan moral kepada jentera BN di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, rekod pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, termasuk pelaksanaan projek pembangunan, peningkatan pelaburan, penyediaan kemudahan awam serta kesinambungan agenda pembangunan negeri, menjadi antara faktor yang akan dinilai pengundi ketika membuat pilihan.
“Impak kemenangan BN di Johor terutama terhadap pengundi atas pagar di Negeri Sembilan adalah sangat terhad kerana landskap politik di Negeri Sembilan telah berubah secara drastik sejak insiden melibatkan Yang di-Pertuan Besar dan pertentangan antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan negeri.
“Saya yakin pengundi atas pagar kini lebih dipengaruhi oleh prestasi semasa Kerajaan Perpaduan, isu kestabilan ekonomi domestik serta formula kerjasama tempatan berbanding sentimen kejayaan di Johor.
“Kemenangan besar BN dalam PRN Johor sememangnya menyediakan BN Negeri Sembilan dengan platform serta momentum psikologi dan suntikan moral kepada jentera parti namun akhirnya di Negeri Sembilan pengundi akan membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran, keupayaan kerajaan menyelesaikan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, tindakan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengepalai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini, berisiko menjadi liabiliti kepada parti itu.

Menurut beliau, ini kerana tindakan itu berkemungkinan dilihat pengundi sebagai satu bentuk ‘penderhakaan’ kepada institusi diraja yang memberi kesan negatif kepada UMNO dan BN negeri, memandangkan kepimpinan pusat parti tetap mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Tindakan Jalaluddin seolah-olah tidak akur dengan pendirian pucuk pimpinan parti yang pada masa sama bertembung dengan isu melibatkan institusi diraja dan Adat Perpatih apabila Aminuddin dilihat mempertahankan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz.
“Video yang turut memaparkan Jalaluddin bersama Undang Jelebu ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 turut membuka ruang kepada persepsi bahawa beliau tidak bersama Tuanku Muhriz.
“Apabila timbul isu tidak berpuas hati terhadap tindakan Aminuddin yang dilihat mempertahankan Tuanku, tindakan Jalaluddin pula dianggap tidak mesra dengan Tuanku Muhriz. Perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada persepsi rakyat,” katanya.






