
KULAI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, bertekad meneruskan khidmat serta memperjuangkan kebajikan masyarakat di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, tumpuan utama yang akan diberi ialah menyelesaikan isu berkaitan kemudahan awam, termasuk kesesakan lalu lintas di Jalan Persekutuan FT001, selain memastikan perkhidmatan kepada penduduk dapat dipertingkatkan.
Katanya, beliau mahu terus membawa suara masyarakat Bukit Batu dengan memperjuangkan isu yang dekat dengan kehidupan harian penduduk.
“Saya akan terus mengusahakan pelebaran Jalan FT001 kerana perkara ini antara isu utama yang dihadapi masyarakat di Bukit Batu.
“Saya sebenarnya sudah memohon perkara ini, namun berdasarkan ulasan Jabatan Kerja Raya (JKR), perlu menunggu beberapa perkara termasuk kesiapsiagaan projek lain sebelum ia dipertimbangkan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Sebagai penyelesaian sementara, menurut Arthur, beliau mencadangkan supaya sistem lampu isyarat pintar dipasang di lokasi tertentu bagi mengurangkan kesesakan dan menyelesaikan masalah ‘bottleneck’ yang berlaku.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Trak Anak Muda Keadilan sempena kempen PRN Johor di DUN Bukit Batu, malam tadi.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, hampir 50 peratus pengundi di DUN Bukit Batu terdiri daripada golongan belia, termasuk pengundi kali pertama, menjadikan mereka kelompok penting dalam menentukan masa depan kawasan itu.
Katanya, beliau sentiasa berusaha mendekati golongan muda menerusi media sosial, program komuniti dan pelbagai pendekatan bagi memahami keperluan mereka.
“Saya telah berusaha menarik hati golongan belia, termasuk pengundi pertama kali kerana hampir 50 peratus pengundi di kawasan saya terdiri daripada orang muda.
“Saya mengaktifkan media sosial dan menyantuni mereka dengan pelbagai cara. Saya berharap belia menghargai nilai undi mereka supaya keluar mengundi dan memilih seorang wakil rakyat yang berkomited, berkemampuan serta sentiasa berkhidmat untuk Bukit Batu,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata beliau menerima maklum balas positif daripada pelbagai lapisan masyarakat sepanjang tempoh kempen, termasuk dalam kalangan pengundi Melayu.
Katanya, keterbukaan rakyat mendengar tawaran serta manifesto yang dibawa menunjukkan perubahan dalam corak pemikiran pengundi yang kini lebih menilai kemampuan calon.
“Saya melihat masyarakat Melayu sudi mendengar manifesto dan dasar yang kita bawa sebelum membuat keputusan. Bagi saya, ini satu tanda yang sangat baik kerana inilah politik yang matang.
“Rakyat hari ini mahu tahu siapa yang boleh membina ekonomi, menjaga kebajikan dan meningkatkan pendidikan mereka, bukan hanya memainkan isu perkauman dan agama,” katanya.
Arthur berkata, sekiranya diberi mandat, beliau turut bercadang membuka sebuah lagi pusat khidmat di kawasan Kelapa Sawit serta mencadangkan pembukaan pusat khidmat tambahan di sekitar Taman Putri.
Menurutnya, langkah itu penting kerana Taman Putri dan Taman Permai antara kawasan yang mempunyai jumlah penduduk besar dalam DUN Bukit Batu.
Sehubungan itu, Arthur menyeru semua pengundi di Bukit Batu supaya keluar mengundi dan mengajak keluarga serta rakan-rakan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Undi ini amat penting untuk ekonomi, kebajikan dan pendidikan. Saya harap semua keluar mengundi dan memilih wakil rakyat yang boleh terus berkhidmat serta membawa pembangunan kepada masyarakat Bukit Batu,” katanya.
Kerusi DUN Bukit Batu menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRN Johor kali ini membabitkan Arthur selaku calon PH, calon Barisan Nasional (BN) R K Kumaran, parti MUDA, M Premanand, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) G Tamili dan calon Bebas Datuk Kamaruzaman Ali.



