
MIRI – Bandaraya Miri terus mencipta sejarah apabila menjadi bandar pertama di Sarawak yang melaksanakan konsep Bandar Pintar Rendah Karbon menerusi pelancaran Pusat Kawalan Bandar Pintar Miri (Miri Smart City Command Center).
Sebelum majlis perasmian, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Bandar Pintar Miri yang terletak di Bangunan Dewan Bandaraya Miri bagi meninjau sendiri kemudahan teknologi dan sistem pemantauan pintar yang digunakan dalam pengurusan bandar.

Beliau berkata, pembangunan bandar pintar bukan sekadar memanfaatkan teknologi digital, sebaliknya bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh aspek keselamatan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lestari.
Menurutnya, Miri bukan sahaja perlu dikenali sebagai bandar pintar, malah sebagai bandar yang bersih dan mesra alam bagi menarik lebih ramai pelancong serta meningkatkan kualiti hidup penduduk.
“Kita tidak mahu Miri hanya sekadar sebuah bandar pintar, tetapi juga sebuah bandar yang bersih. Apabila pelancong datang ke Miri, mereka mahu menikmati suasana yang indah, selesa dan nyaman.
“Oleh itu, pembangunan bandar ini perlu berteraskan konsep rendah karbon,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Pusat Kawalan Bandar Pintar Miri di sebuah hotel sini, pada Sabtu.

Beliau berkata kerajaan Sarawak sedang menyediakan kemudahan tenaga bersih termasuk pemasangan turbin gas berkapasiti 500 megawatt di Miri yang dijangka beroperasi dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun lagi.
“Kemudahan itu akan menyokong penggunaan pengangkutan awam berasaskan tenaga bersih seperti bas elektrik atau bas hidrogen, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di pusat kawalan itu membolehkan data dan imej diperoleh secara masa nyata bagi meningkatkan pemantauan keselamatan, pengurusan lalu lintas serta kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Semua kemudahan ini adalah untuk meningkatkan keselamatan awam dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, bukannya untuk menceroboh privasi orang ramai,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya pusat kawalan berkenaan menyediakan laporan ringkasan mingguan bagi membolehkan semua data yang dikumpulkan dianalisis untuk tujuan penambahbaikan perkhidmatan.
Dalam pada itu, beliau berharap konsep bandar pintar rendah karbon dapat diperluaskan ke seluruh Sarawak mengikut keperluan dan keunikan setiap kawasan.
“Kita mahu Sarawak menjadi negeri contoh dalam pembangunan bandar pintar rendah karbon, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.





