JURGEN Klopp menegaskan dia kini kembali ‘bertenaga’ dan bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih baharu Jerman.
Klopp memaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) pada Jumaat bahawa dia pada dasarnya bersedia untuk mengisi kekosongan itu selepas Julian Nagelsmann meletak jawatan.
Nagelsmann, yang mempunyai kontrak sehingga 2028, berundur hanya empat hari selepas Jerman tersingkir di pusingan 32 Piala Dunia selepas tewas kepada Paraguay.
Klopp, bekas pengurus Liverpool dan Borussia Dortmund, kini memegang jawatan ketua bola sepak global di kumpulan Red Bull.
Namun, laporan Sky Germany menyebut dia mempunyai persetujuan lisan yang membolehkan dia meninggalkan jawatan itu jika dilantik sebagai jurulatih Jerman.
Bercakap kepada Magenta TV ketika bertugas sebagai pengulas Piala Dunia, Klopp berkata: “Ketika ini mungkin bukan masa yang sempurna, tetapi ia lebih baik daripada sebelum ini. Saya sudah kembali segar. Jadi, saya bersedia.”
Klopp turut menegaskan komitmennya terhadap kontrak sedia ada.
“Saya mempunyai kontrak dengan Red Bull dan saya sentiasa menghormati kontrak. Namun saya terbuka untuk berbincang. Ia perlu menjadi perbincangan yang mendalam.
“Masalah yang ada sekarang bukan berpunca daripada Julian Nagelsmann. Kita perlu lakukan perubahan asas. Siapa pun jurulatihnya nanti, perubahan tetap perlu dibuat,” katanya.
Klopp menambah dia perlu mengadakan perbincangan dengan pengarah urusan Red Bull, Oliver Mintzlaff.
“Bola sepak Jerman dekat di hati beliau (Mintzlaff). Red Bull perlu keluar daripada situasi ini dengan cara yang baik. Ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Klopp.




