
KOTA KINABALU – Peluasan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap memberi manfaat kepada lebih ramai peniaga mikro dan perusahaan kecil yang menggunakan kenderaan tersebut bagi menjalankan aktiviti perniagaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan bagi sektor baharu itu dibuka bermula hari ini, manakala kelayakan menerima subsidi diesel akan berkuat kuasa mulai 15 Julai 2026, tertakluk kepada kelulusan permohonan serta pemilikan kad armada (fleet card).
“Peluasan itu menjadikan sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) sebagai kategori baharu di bawah SKDS, selain dua sektor sedia ada iaitu Pengangkutan Darat (Awam) dan Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
“Dengan penambahan sektor baharu ini, keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang layak di bawah SKDS kini meningkat kepada 35 kategori,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat.
Menurut Armizan, SKDS merupakan antara mekanisme kerajaan dalam menyalurkan subsidi diesel secara bersasar kepada golongan yang benar-benar layak.
“Di bawah sistem itu, subsidi diesel disalurkan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi melalui penggunaan kad armada, dengan kuota tetap yang ditentukan mengikut jenis badan, kelas kegunaan serta kategori teknikal kenderaan.
“Pelaksanaan subsidi diesel bersasar turut melibatkan beberapa mekanisme lain yang dikawal selia oleh kementerian berbeza.
“Subsidi individu disalurkan melalui program BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi di bawah Kementerian Kewangan, manakala Skim Subsidi Diesel Nelayan dikendalikan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Bagi SKDS pula, pelaksanaannya berada di bawah seliaan KPDN,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata hanya kenderaan yang didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas atau Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) layak dipertimbangkan.
Selain itu, katanya, pemohon mestilah menjalankan perniagaan yang berdaftar sebagai pemilikan tunggal atau perkongsian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan bagi Sabah dan Sarawak.
“Inisiatif itu disasarkan khusus untuk membantu golongan peniaga mikro dan kecil yang bergantung kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi tujuan operasi harian, sekali gus mengurangkan beban kos bahan api susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
“Sehubungan itu, saya menggesa semua pemilik perniagaan yang memenuhi syarat supaya mengemukakan permohonan dengan segera melalui portal MySubsidi bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan subsidi diesel sebaik kelulusan diberikan,” jelasnya.
Tambahnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan bantuan subsidi terus disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, di samping memperkukuh kelangsungan operasi perusahaan mikro dan kecil di seluruh negara.



