
MIRI – Dua Timbalan Menteri memohon peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi menyegerakan kerja baik pulih menyeluruh di Jalan Lapangan Terbang Miri-Taman Delight yang terjejas teruk akibat hakisan tanah.
Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, kerosakan laluan utama itu kini berada pada tahap yang membimbangkan.
Menurut mereka, ia bukan sekadar melibatkan kerosakan permukaan jalan, sebaliknya menjejaskan struktur pembetung, sistem saliran bawah tanah dan kestabilan cerun yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Justeru, kami memohon peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan projek pembaikan secara berfasa,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Jelas kenyataan itu, fasa pertama dijangka melibatkan pengalihan sementara utiliti sedia ada, manakala fasa kedua membabitkan kerja fizikal seperti pembaikan pembetung, pengukuhan cerun dan pemulihan turapan jalan.
Mengulas lanjut, antara cabaran utama pelaksanaan kerja penyelenggaraan di laluan berkenaan ialah kekangan status tanah yang masih berada di bawah seliaan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Proses penyerahan jalan terbabit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Kerajaan Negeri belum dimuktamadkan, sekali gus merumitkan urusan penyelenggaraan jangka panjang.
Terdahulu, perkara tersebut dibincangkan dalam satu mesyuarat bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Pejabat Residen Miri, Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan syarikat utiliti.
Sehubungan itu, orang ramai diminta bersabar memandangkan beberapa prosedur teknikal serta pentadbiran perlu diselesaikan oleh semua agensi yang terlibat sebelum kerja pembaikan fizikal dapat dimulakan.




