
TAWAU – Gegaran gempa bumi yang melanda Mindanao, Filipina pukul 7.37 pagi Isnin turut dirasai penduduk sekitar Tawau dan Kunak.
Seorang staf kilang minyak kelapa sawit di Kunak, Mohd Alias Mandu, 33, berkata, semasa gempa, dia berada di perumahan pekerja sedang bersarapan sebelum bergerak ke pejabatnya.
“Gegaran tu dalam tujuh hingga ke 10 saat. Mungkin dua kali tapi kalau sekali gegar saja, tempoh gegaran tu lama.
“Kawan-kawan di tempat kerja pun ada rasa, di pejabat pun sama, ” katanya dihubungi The Malaysia Press.
Sementara itu, seorang lagi staf kilang, Hasri Omar berkata, gempa turut dirasai di kawasan Sungai Burong, di Balung.
Semasa kejadian, dia sedang berada di dalam pejabat sambil menyemak kerja sebelum mendapati dokumen dan barangan di atas meja bergerak.
“Saya rasa dua kali. Saya ingatkan ada jentera berat lalu jalan. Tapi bila saya keluar, tiada sebarang jentera di luar.
“Bila nampak media sosial, baru tahu ada gempa bumi tadi,” katanya.
Sementara itu, seorang staf di Jabatan Akauntan Negara, Shahrisal Nordin berkata, kejadian gempa dirasai kira-kira pukul 7.40 pagi.
“Macam biasa baru sampai pejabat terus buka komputer dan buat laporan sikit.
“Tiba-tiba rasa pening. Saya terus bangun dan dapati bangunan Wisma Persekutuan bergegar.
“Terus saya segera maklumkan pada semua (rakan sepejabat) untuk turun ke bawah bangunan,” ujarnya.
Difahamkan, Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau turut membuat pemeriksaan bangunan di Wisma Persekutuan Tawau dan mengisyitiharkan bangunan selamat diduduki kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Untuk rekod, gempa bumi bermagnitud 7.9 itu berlaku pukul 7.37 pagi itu berpusat di lokasi dengan koordinat 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur, kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City dengan kedalaman 50 kilometer.




