
KUALA KRAI – Penahanan seorang wanita oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Miah di sini, petang semalam, membawa kepada rampasan lima laras senjata api, termasuk M-16.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek ditahan menerusi Ops Bersepadu Khazanah Siri 4/2026 pada jam 6.45 petang.
“Kesemua senjata api itu ditemukan hasil pemeriksaan dilakukan di dalam sebuah rumah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Ahmad Radzi memberitahu, serbuan tersebut turut disertai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Jabatan Perhutanan negeri.





