KUANTAN – Isu pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian tidak seharusnya dilihat sekadar statistik melalui lensa peratusan kecil semata-mata.
Ia sebaliknya perlu ditangani sebagai jenayah berat yang menyentuh soal hak asasi manusia dan maruah nyawa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, naratif angka 0.50 peratus yang tersebar di media sosial dilihat sebagai pendekatan sempit dan tidak berperikemanusiaan.

Katanya, dalam Islam setiap nyawa mempunyai nilai yang tidak terhingga dan melampaui sebarang data statistik.
Perspektif Syarak dan Maqasid Syariah
Mengambil ibrah daripada Surah al-Ma’idah: 32, ditegaskan bahawa membunuh satu jiwa tanpa hak adalah seumpama membunuh seluruh umat manusia.
Walaupun dari sudut fiqh kes ini tidak dikategorikan sebagai Qisas kerana ketiadaan niat membunuh secara langsung, ia tetap jatuh di bawah kategori jenayah berat yang tertakluk kepada kuasa Ta’zir.
“Dalam prinsip Maqasid Syariah, Hifz al-Nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu matlamat utama.
“Sesiapa yang sengaja mabuk dan memandu telah melanggar prinsip ini dengan membuka ruang kepada risiko kematian orang awam,” jelasnya.
Tuntutan Hukuman dan Penguatkuasaan
Bagi memastikan keselamatan umum terpelihara, beberapa langkah drastik dicadangkan untuk dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti pelaksanaan hukuman berat dan mandatori.
“Hukuman penjara dan sebatan juga boleh dilaksanakan atau diperkenalkan kepada pesalah dalam kes mabuk hingga kemalangan maut.
“Selain itu, boleh juga dipertimbang untuk melaksanakan perintah larangan memandu seumur hidup kepada mereka yang didapati bersalah dalam kes kemalangan seperti itu,” tambahnya.
![]()
Ahmad Irshadi dalam masa yang sama memohon agar naratif memandu di bawah pengaruh alkohol adalah jenayah serius, bukan sekadar kesalahan trafik kecil perlu diperkukuh dalam kalangan pemahaman awam.
“Isu utama bukanlah mengenai peratusan kes yang berlaku, tetapi mengenai kegagalan dalam memelihara amanah setiap nyawa rakyat.
“Negara yang bertanggungjawab seharusnya memastikan tiada satu pun tragedi seumpama ini berulang.
“Hukuman tegas dan penguatkuasaan yang konsisten adalah kunci utama agar undang-undang tidak dipandang remeh.
“Nyawa rakyat adalah amanah yang wajib dipelihara oleh pemerintah, bukannya bahan statistik untuk diperdebatkan,” ujarnya.







