
Oleh: NANA MOHAMAD & BEATRISCIA
KANOWIT – Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan kawasan luar bandar termasuk Skim Penempatan Semula (SPS) bagi memastikan masyarakat di pedalaman tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, John Sikie Tayai berkata, kerajaan komited menyalurkan pembangunan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
“Kerajaan GPS akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dengan menggunakan hasil negeri untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ado Anak Kanyan, Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Tada, Sungai Tada pada Sabtu.
Menurut beliau, penubuhan Mid-Rajang Development Agency (MIRDA) turut memainkan peranan penting dalam mempercepat pembangunan di kawasan pedalaman serta membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana memaklumkan kira-kira 80 peratus projek RTP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah telah dilaksanakan dengan baik manakala baki projek akan diteruskan secara berperingkat.
Beliau berkata, projek pembinaan tempat letak kereta di Rumah Ado Anak Kanyan akan dilaksanakan di bawah peruntukan RTP bagi menambah baik kemudahan yang digunakan oleh penduduk rumah panjang tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Digital Malaysia, Wilson Ugak Kumbong menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian serta tidak mudah mempercayai berita palsu, di samping menggalakkan masyarakat memanfaatkan teknologi digital dalam kehidupan seharian.


