KUANTAN – Seorang bekas diplomat dan anak lelakinya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh daripada pertuduhan mengedar, memiliki dan menanam kanabis di sebuah rumah di Janda Baik.
Hakim Roslan Mat Noor membuat keputusan itu terhadap Zainal Abidin Alias dan anaknya, Mohamed Rizal Zainal Abidin selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Zainal Abidin, 82, dan Mohamed Rizal, 56, sebelum ini didakwa mengedar 989.6 gram kanabis, memiliki minyak kanabis serta menanam 102 pokok kanabis di premis berkenaan.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili kedua-dua tertuduh mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Berita Harian.
Beliau berkata, hakim memutuskan kes pendakwaan mempunyai jurang ketara dan gagal mengaitkan tertuduh dengan dadah ditemui di premis terbabit.
“Mahkamah menerima hujah pihak pembelaan bahawa pokok kanabis ditemui di premis berkenaan tidak dapat dilihat dari lokasi Zainal Abidin berada ketika beliau ditahan.
“Hakim berkata keadaan muka bumi yang terdiri dari cerun curam serta tumbuhan tebal mewujudkan apa yang digambarkan pihak pembelaan sebagai ‘zon bayang’, sekali gus menjadikannya mustahil untuk Zainal Abidin, yang berusia 78 tahun ketika itu, melihat kawasan tanaman dari rumah atau garaj,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah turut mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai kawalan eksklusif ke atas premis berkenaan.
Katanya, bukti forensik juga menunjukkan profil DNA individu tidak dikenal pasti termasuk seorang yang dilabelkan sebagai ‘Female 1’ ditemui di bilik tempat dadah itu dirampas.
“Mahkamah turut mengambil maklum beberapa kelemahan dalam siasatan pihak berkuasa, termasuk peluang yang terlepas untuk mengumpul bukti penting.
“Bagi Mohamed Rizal pula, mahkamah menyatakan tertuduh kedua ditahan di Shah Alam, lebih 60 kilometer dari rumah di Janda Baik,” katanya.
Menurutnya, analisis forensik digital terhadap peranti yang dirampas tidak menemui sebarang komunikasi – termasuk mesej teks, panggilan atau e-mel – yang mengaitkan bapa dan anak itu dengan kegiatan jenayah bersama.
“Mahkamah menyatakan niat bersama tidak boleh digunakan tanpa kewujudan bukti sedemikian,” katanya.
Muhammad Farhan berkata, mahkamah akhirnya memutuskan kes pendakwaan sebahagian besarnya hanya berasaskan syak wasangka dan bukan bukti kukuh.
Bapa dan anak itu ditahan pada 21 Mei 2022 dalam operasi yang menurut polis adalah rampasan tanaman kanabis terbesar setakat itu, memandangkan kes-kes sebelum ini hanya membabitkan pokok ditanam dalam pasu.
Kesalahan yang didakwa itu berlaku di Kampung Sum Sum, di Janda Baik, apabila pihak berkuasa menemui 102 pokok kanabis dianggarkan bernilai kira-kira RM61,200, ditanam secara berbaris di sekitar rumah berkenaan.
Pihak berkuasa turut merampas 1.02 kilogram daun kanabis kering serta sebotol cecair dipercayai minyak kanabis di premis terbabit.
Tertuduh diwakili Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, Wee Yeong Kang dan Naresh Mayachandran.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Shahrizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nur Hilwani Rifin dan Nur Syafiqah Noorinda.



