
PADANG BESAR – Pengorbanan seorang suami yang setia menjaga isterinya ketika bertarung dengan kanser berakhir dengan kisah pilu apabila lelaki itu pula menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit sama pada Disember tahun lalu.
Norhaslinda Mohd. Jusoh, 51, berkata, suaminya, Zulkeple Muhammad meninggal dunia pada usia 59 tahun selepas bertarung dengan kanser prostat tahap empat selama kira-kira setahun.
Menurutnya, sepanjang tempoh dia menjalani rawatan kanser pangkal rahim tahap tiga pada Julai 2022, suaminya tidak pernah meninggalkan dirinya walau sesaat.
“Dia ganti nyawa saya, kerana ketika saya sakit dialah yang menjaga, memberi semangat dan kekuatan sehingga saya pulih sebelum dia pergi buat selamanya,” katanya di kediamannya di Rancangan Perumahan Awam Padang Besar di sini hari ini.
Katanya, ketika disahkan menghidap kanser pangkal rahim tahap tiga, dia terpaksa menjalani pembedahan membuang rahim selain enam kitaran rawatan kemoterapi.
Menurutnya, suaminya menjadi orang yang paling kuat memberi sokongan sepanjang tempoh rawatan tersebut.
“Mungkin berkat doa suami yang tidak pernah putus, doktor memaklumkan sel kanser saya sudah tidak aktif pada Mei tahun lalu dan kami sekeluarga sangat gembira ketika itu.
“Namun kegembiraan itu tidak lama apabila suami pula disahkan menghidap kanser prostat tahap empat dan hanya rawatan paliatif atau rawatan sokongan sahaja mampu diberikan,” katanya.
Tambahnya, keadaan suaminya semakin merosot apabila sel kanser merebak sehingga menyebabkan tulang kakinya hancur.
Katanya, suaminya juga terpaksa menanggung kesakitan yang teruk sehingga enggan meletakkan tuala lembut di bawah badan kerana tidak mampu menahan rasa sakit.
“Dia juga sebenarnya tidak pernah tahu dirinya menghidap kanser sebelum itu dan kami semua terkejut apabila doktor mengesahkan penyakit tersebut,” katanya.
Norhaslinda berkata, suaminya dimasukkan ke hospital selama lebih lapan bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka pada 15 Disember lalu.
“Sepanjang tempoh dia sakit, saya menjaganya seperti mana dia pernah menjaga saya ketika saya sakit dahulu,” katanya.
Menurutnya, Aidilfitri tahun ini menjadi yang paling sunyi selepas 34 tahun berkongsi hidup bersama lelaki yang sentiasa menjadi tulang belakang keluarga.
Namun katanya, kenangan dan pengorbanan arwah suaminya akan terus menjadi kekuatan untuknya meneruskan kehidupan bersama tiga orang anak mereka.







