
PUTRAJAYA – Dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung had pemilikan saham dan prosedur pentadbiran bukan secara automatik merupakan kesalahan jenayah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, selagi tiada pertuduhan jenayah dibuktikan di mahkamah, kepimpinan SPRM mesti terus berfungsi tanpa gangguan.
Beliau berpandangan, kepimpinan SPRM di bawah kelolaan Azam telah menyaksikan pendakwaan terhadap tokoh-tokoh berprofil tinggi, sekali gus memberi isyarat tindakan tegas sedang dilaksanakan.
“Apabila tindakan menyentuh ‘jerung besar’, tentangan menjadi luar biasa. MCW melihat pola yang jelas, di mana serangan berulang di media sosial. Manipulasi persepsi terhadap isu pentadbiran serta cubaan membingkaikan naratif krisis institusi.
“Ini bukan kebetulan. Jika ada bukti (Azam) rasuah, siasat dan dakwa. Jika tiada unsur jenayah, jangan jadikan isu pentadbiran sebagai senjata politik. Negara tidak boleh ditadbir berdasarkan desakan emosi atau tekanan siber,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Jais berpendapat, Malaysia tidak boleh terperangkap dalam politik persepsi sehingga menyebabkan institusi penguatkuasaan menjadi tidak stabil seperti dialami Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia.
Katanya, tindakan drastik tanpa asas jenayah yang jelas hanya akan menghantar isyarat salah kepada perasuah, memberi kemenangan moral kepada kartel dan melemahkan semangat pegawai penyiasat.

“Malaysia tidak boleh mengulangi episod Indonesia tahun 2015, apabila kepimpinan KPK digoncang susulan tindakan terhadap Abraham Samad dan Bambang Widjojanto.
“Sejarah menunjukkan apabila kepimpinan agensi antirasuah diganggu ketika tindakan penguatkuasaan sedang agresif, pihak yang paling mendapat manfaat ialah kartel dan jaringan berkepentingan,” katanya.
Dalam pada itu, Jais berkata, pihaknya menyatakan sokongan agar SPRM terus melaksanakan penguatkuasaan tanpa takut atau pilih kasih demi memastikan kartel yang menjejaskan ekonomi negara dapat dibongkar.
“Penguatkuasaan tidak tunduk kepada tekanan. Jika ada pihak yang benar-benar mempunyai bukti salah laku kemukakan kepada pihak berkuasa melalui saluran sah. Menjerit tanpa bukti bukan keberanian, ia hanya bunyi,” katanya.
Tambah beliau, tiada siapa kebal daripada siasatan, namun institusi antirasuah juga tidak boleh dijadikan sasaran pelemahan strategik.
“Malaysia sedang berada pada fasa kritikal reformasi integriti. Melemahkan kepimpinan ketika operasi sedang berjalan hanya akan menguntungkan mereka yang terancam.
“Momentum anti rasuah mesti dipertahankan. Kartel tidak boleh diberi ruang bernafas. Jika ada kesalahan jenayah. buktikan di mahkamah. Jika tiada hentikan manipulasi persepsi.
“Perjuangan melawan rasuah bukan medan politik. Ia adalah peperangan moral negara,” jelasnya.
Terdahulu, media asing Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Malah, Azam dilaporkan berkata, tidak ada perkara yang disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun sama.






