
KONSEP amanah dalam kepimpinan bukan sekadar peranan organisasi, sebaliknya suatu taklif yang ditanggung setiap manusia sebagai hamba.
Pengarah Zon Utara Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Azizi Azizan berkata, prinsip kepimpinan menurut pandangan Islam menekankan bahawa setiap individu adalah pemimpin dan akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab yang dipikul.
Katanya, kepimpinan wujud kerana adanya individu yang memimpin serta kelompok yang dipimpin, menjadikan amanah sebagai asas yang mengikat hubungan tersebut.
“Tujuan pemimpin ialah membawa dan memandu mereka yang dipimpin. Ini bukan soal gelaran atau kedudukan, tetapi amanah yang datang bersama taklif sebagai manusia,” katanya dalam siaran Minda Tok Abah yang disiarkan pada Jumaat.
Azizi berkata, amanah tidak diukur pada besar atau kecil skop tugas, sebaliknya pada kesedaran bahawa setiap tanggungjawab memberi kesan kepada kumpulan yang dipimpin, sama ada majoriti atau minoriti.
“Sama ada memimpin kelompok besar atau segelintir individu, setiap amanah itu tetap akan ditanya. Yang penting ialah usaha menjaga kelompok itu untuk mencapai objektif bersama,” katanya.
Beliau turut berkongsi kecenderungannya kebelakangan ini menelaah hadis-hadis berkaitan kepimpinan, termasuk nas yang menyebut bahawa setiap insan adalah pemimpin dan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.
Dalam konteks seorang Muslim, jelasnya, amanah kepimpinan akhirnya kembali kepada hubungan dengan Tuhan sebagai pihak yang memberikan perintah dan menuntut pertanggungjawaban.
“Pegangan amanah itu akhirnya membawa kita kepada nilai ketakwaan dan ketaatan kepada Tuhan yang mencipta. Itulah matlamat terakhir seorang pemimpin,” katanya.




