
MALAYSIA terus memainkan peranan aktif dalam memantapkan proses perdamaian antara Kemboja dan Thailand susulan ketegangan terbaharu di kawasan sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu dibincangkan melalui perbualan telefon bersama kedua-dua pemimpin negara berkenaan bagi memastikan komitmen terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur kekal utuh.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.
“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini,”* katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua perdana menteri turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi juga sebagai sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.
“Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara.”
Terdahulu, Hun Manet dan Anutin menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lalu, disaksikan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Melalui perjanjian itu, Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan pertelingkahan serta memperkukuh hubungan kejiranan.


