
SIBU – Sarawak menegaskan keutamaan utama dalam pengurusan bekalan air negeri adalah memastikan keperluan domestik rakyat terus terjamin.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, beliau mengarahkan Sarawak Water Sdn. Bhd. supaya menyemak semula perjanjian penjualan air kepada pihak ketiga bagi memastikan bekalan air kepada pengguna tempatan tidak terjejas.
“Saya difahamkan memang ada persetujuan sebelum ini antara Lembaga Air Sibu (kini Sarawak Water Sdn. Bhd.) dengan pihak tertentu. Namun, saya sudah arahkan supaya perkara itu dikaji semula.
“Keutamaan kita tetap kepada pengguna tempatan,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Integriti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak 2025 pada Selasa.
Beliau berkata semakan perlu dibuat bagi memastikan kuantiti dan harga air yang dijual adalah munasabah serta tidak menjejaskan bekalan kepada penduduk setempat.
Beliau turut memberi amaran terhadap perbuatan membuka injap secara haram yang disifatkannya sebagai antara punca gangguan tekanan air di beberapa kawasan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini menjejaskan sistem dan menyebabkan pengguna lain terkesan. Kita tidak akan berkompromi,” tegasnya.
Julaihi turut berkata, masalah tekanan air rendah di Sibu Jaya kini hampir pulih sepenuhnya hasil pelaksanaan pelbagai projek naik taraf oleh kerajaan Sarawak.
Langkah tersebut termasuk pemasangan saluran paip lencongan yang menghubungkan Projek Bekalan Air Kanowit Fasa 2 dengan Loji Rawatan Air Salim serta penggantian paip lama yang uzur.
Beliau menjelaskan Loji Salim kini mampu menghasilkan 150 juta liter air sehari manakala Loji Bukit Lima menambah 45 juta liter sehari menjadikan jumlah keseluruhan 195 juta liter air setiap hari.
Sarawak turut meluluskan projek untuk meningkatkan kapasiti Loji Salim kepada 300 juta liter sehari selain peruntukan RM170 juta bagi penggantian paip lama di sekitar Sibu bagi menjamin bekalan yang stabil untuk jangka panjang.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


