Sarawak tanggung RM600 juta setahun bagi pengajian percuma, perkasa pendidikan anak tempatan

KUCHING –Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk pemberian pengajian tinggi percuma di universiti milik kerajaan negeri bermula tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, langkah itu sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, dasar tersebut akan memanfaatkan ribuan pelajar tempatan yang menyambung pengajian di empat universiti utama milik kerajaan negeri, iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

“Kerajaan Sarawak dijangka menanggung sekurang-kurangnya RM210 juta bagi pembayaran yuran universiti melibatkan kira-kira 7,000 pelajar pada tahun pertama pelaksanaan.

Jumlah itu akan meningkat antara RM450 juta hingga RM600 juta setahun apabila kapasiti pengambilan pelajar di universiti-universiti tersebut dipenuhi,” katanya ketika berucap pada Majlis Kolej Profesional Matang pada Khamis. 

Menurutnya, setiap pelajar akan menikmati pembiayaan penuh yuran pengajian berjumlah kira-kira RM30,000 setahun, sementara pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah turut menerima bantuan tunai RM15,000 setahun di bawah skim stipend bagi menampung kos sara hidup dan penginapan.

“Daripada jumlah itu, RM5,000 diperuntukkan untuk penginapan dan RM1,000 sebulan diberikan sebagai elaun poket.

Ini peluang besar yang tidak dilaksanakan oleh mana-mana negeri lain di Malaysia,” jelas beliau.

SEEP bantu pelajar lemah akademik

Dr. Annuar turut menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada pelajar luar bandar yang masih lemah dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bagi menangani isu tersebut, kerajaan memperkenalkan Sarawak Educational Enhancement Program (SEEP) iaitu program tuisyen percuma bernilai RM20 juta yang kini melibatkan 62,000 pelajar di seluruh negeri.

“Program ini memberi tumpuan kepada pelajar yang memperoleh markah bawah 40 peratus dalam ujian semasa. Ia dijalankan secara bersemuka, webinar, bengkel dan seminar, serta dilengkapi modul dan buku kerja percuma,” katanya.

Tambah beliau, program SEEP yang kini dilaksanakan untuk murid Tingkat 3 hingga Tingkatan 5 akan diperluas kepada Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 pada fasa seterusnya bagi memastikan pelajar lemah dapat lulus peperiksaan dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke kolej vokasional atau politeknik.

TVET dan STEM pemacu ekonomi Sarawak

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dan STEM akan terus menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.

Justeru, kolej vokasional dan politeknik di Sarawak akan dijadikan ‘feeder utama’ kepada universiti negeri melalui sistem pemindahan kredit (credit transfer) bagi membolehkan pelajar diploma menyambung pengajian ke peringkat ijazah dengan lebih mudah.

“Kerajaan mahu pelajar diploma melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah tanpa halangan kewangan. Ini selaras dengan hasrat menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi yang memiliki tenaga kerja berkemahiran,” ujarnya.

Beliau turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak tidak mensia-siakan peluang pendidikan percuma yang disediakan oleh kerajaan negeri.

“Zaman saya dahulu tidak ada peluang sebegini. Kini, ibu bapa dan pelajar tidak perlu risau tentang kos pendidikan. Apa yang penting ialah kesungguhan untuk belajar dan terus maju,” katanya.

Related Posts

Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menyifatkan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

KUCHING – Sambutan Hari Gawai Dayak bukan sekadar perayaan menuai hasil tuaian, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum, memelihara warisan budaya serta memperkasa daya saing rakyat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri