
BINTULU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak terus memperkukuh usaha membanteras penggajian pekerja asing tanpa kebenaran apabila menahan 203 warga asing dalam satu operasi besar-besaran dikenali sebagai Ops Sapu, yang dijalankan di sekitar bandar ini awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP) JIM Sarawak, operasi yang bermula seawal jam 2 pagi itu disertai 23 anggota penguat kuasa, dengan tumpuan kepada dua kilang papan lapis (plywood) yang disyaki menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.
“Hasil pemeriksaan terhadap 357 individu, seramai 203 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan tersebut.
Daripada jumlah yang ditahan, 129 adalah lelaki manakala 74 wanita, dan kesemua mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bintulu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Jurucakap JIM Sarawak berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan serta aduan awam mengenai penggajian pekerja asing tanpa dokumen di beberapa premis perindustrian sekitar Bintulu.
“JIM Sarawak komited memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggarnya. Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang didapati menggajikan warga asing tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan bagi memastikan setiap majikan bertanggungjawab dan hanya menggajikan pekerja yang mempunyai dokumen serta permit kerja sah.
Selain itu, JIM Sarawak turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau majikan yang melanggar undang-undang imigresen bagi membantu memperkukuh penguatkuasaan di negeri ini.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam terus terpelihara. JIM Sarawak akan mempergiatkan rondaan serta pemeriksaan berkala di kawasan perindustrian, tapak pembinaan dan kawasan tumpuan awam,” tambah kenyataan itu.
Kejayaan Ops Sapu ini sekali lagi membuktikan ketegasan JIM Sarawak dalam memastikan hanya warga asing yang sah dari segi undang-undang dibenarkan bekerja di negeri ini, selaras dengan dasar keselamatan dan penggajian negara.





