
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan bersedia memberi bantuan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) demi menangani isu berkaitan kesihatan mental yang berlaku pada kalangan murid di sekolah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tidak timbul lagi bekerja secara silo di bawah pemerintahan Kerajaan MADANI, malah setiap maklumat dapat dikongsikan supaya intervensi dapat dilakukan untuk mencari penyelesaian sekiranya kerjasama rentas Kementerian dapat dilaksana secara holistik.
“Mustahak untuk saya tekankan, kita mempunyai Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) yang mutakhir ini mengadakan kerjasama dengan KPM dan dalam hal-hal terkait krisis serta bencana.
“Kita memang sentiasa di barisan hadapan sama ada pasukan sokongan psikososial, semua itu kita lakukan segera. Usaha sama KKM dengan KPM atas perkara ini, saya yakin NCEMH akan terus berikan kerjasama untuk membantu KPM,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas intervensi boleh dilaksanakan KKM untuk membantu menangani isu kesihatan mental, khususnya membabitkan murid di sekolah.
Ia susulan kes pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama di Petaling Jaya maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki mengalami masalah kesihatan mental.
Sementara itu, ditanya bila kali terakhir KKM melakukan intervensi di sekolah, Dr Dzulkefly memaklumkan, pihaknya mempunyai pasukan untuk mengadakan program jangkauan masyarakat membabitkan isu kesihatan mental di sekolah yang dihadiri oleh pakar psikologi dan kaunselornya.
Dari segi perkongsian maklumat tahap kesihatan mental murid KPM dengan KKM, beliau berkata, ia bukan kekangan di bawah pentadbiran sekarang yang menekankan pendekatan ‘whole of government’
“Kita dalam Kerajaan MADANI kita bekerjasama secara bersepadu dan rentas kementerian. Saya rasa tak ada masalah untuk saya bersama Menteri Pendidikan berkongsi data NCEMH dengan psikologi dalam KPM.
“Saya ingat tidak ada masalah untuk saya bantu dan juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan,” katanya.






